Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 149 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

1  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1427.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Apabila Tuhan mengasihi hambaNya dipanggilNya malaikat Jibril dan Dia berfirman: "Sesungguhnya Tuhan mengasihi si Anu, maka kasihilah dia". Jibril lalu mengasihinya. Jibril pun menyerukan pada isi langit: "Sesungguhnya Tuhan mengasihi si Anu, maka hendaklah kamu kasih kepadanya!" Isi langit pun lalu mengasihinya. Kemudian ia diterima di bumi".

2  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1475.
Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Mula-mula perempuan yang mengambil (memakai) ikat pinggang, ialah ibu Nabi Ismail, diambilnya ikat pinggang supaya hilang jejaknya oleh Sarah. Kemudian Nabi Ibrahim a.s. membawa Ibu Ismail dan anaknya yang masih menyusu, lalu di tempatkannya dekat perumahan Bait (Kaabah), di bawah pohon Dauhah di tepi bakal sumur Zamzam, di perumahan masjid. Waktu itu tidak ada seorang pun yang tinggal di Mekah dan di situ air pun tidak ada. Nabi Ibrahim lalu menempatkan keduanya di sana dan diletakkannya di sisi keduanya sebuah tempat makanan yang berisi kurma dan sebuah tempat minum yang berisi air. Kemudian Nabi Ibrahim berangkat. Ibu Ismail lalu mengikutinya sambil berkata: "Hai Ibrahim! Tuan hendak kemana? Sampai hatikah tuan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada manusia dan tidak pula ada sesuatunya di sini". Diucapkannya perkataan itu berulang-ulang. Nabi Ibrahim tiada menoleh. Kata ibu Ismail kepadanya: "Tuhankah yang menyuruh tuan berbuat begini?" Jawab Ibrahim: "Ya!" Katanya: "Jika begitu, Tuhan tiada akan mensia-siakan kami'. Kemudian ibu Ismail kembali dan Ibrahim pun terus berjalan. Ketika ia berada di Saniah, di tempat yang kira-kira tidak kelihatan oleh ibu Ismail, Ibrahim menghadap ke arah Bait, kemudian ia berdoa dengan beberapa kalimat, sambil mengangkat kedua tangannya. Doanya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan sebahagian dari turunanku di lembah yang tiada mempunyai tanam-tanaman, di dekat Rumah Suci Engkau. Wahai Tuhan kami! Supaya mereka tetap mengerjakan solat. Sebab itu, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, dan belilah buah-buahan, menjadi rezeki mereka, mudah-mudahan mereka berterima kasih!" Kemudian ibu Ismail menyusukan anaknya dan meminum air yang disediakan itu. Ketika air yang dalam tempat air itu habis, ia dan anaknya merasa haus. Ketika ia memandang anaknya membalik-balik, ia pun pergi kerana tak sampai hati melihat anaknya. Maka dilihatnya bukit Safa paling dekat kepadanya. Lalu ia berdiri ke sana dan menghadap ke lembah, kalau-kalau ada orang. Tetapi ia tidak melihat seorang juapun. Ia turun dari Safa. Ketika ia di lembah, diangkatnya tepi bajunya, kemudian ia berjalan cepat-cepat seperti perjalanan orang kecemasan, sampai ia melalui lembah. Kemudian ia tiba di Marwah, lalu ia berdiri di situ dan melihat kalau-kalau ada orang. Tetapi ia tiada melihat seorang jua pun. Dilakukannya yang demikian sampai tujuh kali. Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w. bersabda: "Kerana itulah , orang haji mengerjakan Saai di antara Safa dan Marwah". Ketika Ibu Ismail berada di Marwah, ia mendengar suara, lalu ia berkata kepada dirinya sendiri: "Dengarlah!" Kemudian ia berhati-hati mendengarkannya, maka didengarnya pula suara itu. Ia berkata: "Sesungguhnya engkau telah memperdengarkan suara, adalah kiranya pertolongan dari sisi engkau". Tiba-tiba di situ ada malaikat dekat tempat Zamzam lalu ia menggali dengan tumitnya atau dengan sayapnya sehingga keluarlah air. Ibu Ismail lalu membendungnya dengan tangannya begini: Ia menyauk air itu untuk mengisi tempat airnya, dan air itu pun terus menyembur sesudah disauk. Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w. bersabda: "Mudah-mudahan Tuhan mengasihi ibu Ismail! Jika dibiarkannya Zamzam, atau tidak disauknya air itu, sesungguhnya akan menjadi mata air yang mengalir." Sabda beliau: "Ibu Ismail lalu minum dan menyusukan anaknya. Malaikat berkata kepadanya: "Janganlah engkau takut akan binasa! Sesungguhnya di sini Baitullah yang bakal dibangun oleh anak ini dan ayahnya, dan sesungguhnya Tuhan tiada akan menyia-nyiakan penduduk tempat ini." Dan tinggi Baitullah itu dari tanah sebagai longgokan tanah, yang dilanda oleh banjir di sebelah kanan dan kirinya. Demikianlah keadaan perempuan itu, sehingga lalulah serombongan dari suku Jurhum yang datang dari jalan Kada', lalu mereka itu berhenti di hilir Mekah. Mereka melihat burung berputar-putar di udara, lalu mereka berkata: "Burung ini berputar di atas air". Sebenarnya kita di lembah ini menemui tempat yang di situ ada air. Mereka lalu mengirim seorang atau dua orang utusan. Tiba-tiba utusan itu menemui air, segera mereka kembali dan terus dikhabarkannya pada mereka (kawannya) bahawa di situ ada air. Lalu mereka berkata: "Adakah engkau mengizinkan kami tinggal di tempatmu?" Jawab perempuan itu: "Ya, tetapi kamu tiada berhak atas air itu!" Kata mereka: "Ya, baiklah!" Ibu Ismail menerimanya dengan baik, kerana dia ingin ada orang lain bersama dia. Mereka lalu tinggal di situ bersama-sama dengan keluarga mereka, sehingga terjadilah beberapa rumah tangga mereka, sedang Ismail telah agak besar (hampir dewasa). Ia mempelajari bahasa Arab dari mereka. Ia amat dikasihi mereka. Ismail amat menarik dan mengagumkan mereka, ketika itu umurnya hampir dewasa. Mereka mengahwinkan Ismail dengan seorang perempuan di antara mereka, dan ibu Ismail pun meninggal. Sesudah Ismail kahwin, datanglah Nabi sesudah Ismail kahwin, datanglah Nabi Ibrahim melihat anak isteri yang ditinggalkannya, tetapi beliau tiada menemui Ismail. Ibrahim lalu bertanya pada isteri Ismail dari hal keadaannya. Kata isteri Ismail: "Ia pergi mencari keperluan kami". Kemudian Ibrahim menanyakan dari hal penghidupan dan keadaan mereka. Kata perempuan itu: "Kami dalam keadaan sengsara, kami dalam kesempitan dan kesusahan". Ia mengadukan halnya kepada Ibrahim. Ibrahim berkata: "Apabila datang suami engkau, sampaikanlah salam kepadanya dan katakanlah baginya supaya diubahnya bingkai pintunya". Setelah Ismail datang, seolah-olah ia merasakan sesuatu, lalu ia bertanya: "Adakah orang yang datang kepadamu?" Jawabnya: "Ya, ada orang tua datang kepada kami, lalu saya bercerita kepadanya. Ditanyakannya bagaimana penghidupan kita lantas saya ceritakan bahawa sesungguhnya kita dalam kepayahan dan kesusahan". Kata Ismail: "Adakah ia memesankan sesuatu kepada engkau?" Jawabnya: "Ya, disuruhnya saya menyampaikan salam kepada engkau dan dikatakannya: "Ubahlah bingkai pintumu!" Kata Ismail: "Itulah ayahku! Sebenarnya ia menyuruh saya supaya menceraikan engkau. Kembalilah engkau kepada keluarga engkau!" Ismail pun mentalaknya. Kemudian ia kahwin dengan perempuan lain. Setelah beberapa lama Ibrahim datang kembali, tetapi tidak juga menemui Ismail. Ia lalu masuk ke rumah isteri Ismail, dan ditanyakannya dari hal Ismail. Kata perempuan itu: "Ia pergi mencari keperluan kami!" Kata Ibrahim: "Bagaimana keadaanmu?" Ditanyakannya hal penghidupan dan keadaan mereka. Jawabnya: "Kami dalam keadaan baik dan lapang". Dan perempuan itu pun memuji Tuhan. Tanya Ibrahim: "Apakah makananmu?" Jawabnya: "Daging". Tanya beliau: "Apakah minumanmu?" Jawabnya: "Air". Doa Ibrahim:"Wahai Tuhan, berilah kiranya keberkatan untuk mereka mengenai daging dan air!" Nabi s.a.w bersabda: "Ketika itu belum ada di situ tanaman yang berbiji. Sekiranya mereka mempunyai, nescaya Nabi Ibrahim mendoakan keberkatannya. Maka yang dua itu (daging dan air) di negeri lain dari Mekah biar pun ada, tetapi tidak sesuai untuk jadi makanan pokok. Kata Nabi Ibrahim: "Apabila datang suami engkau, sampaikanlah salam kepadanya, dan suruhlah ia supaya menetapkan bingkai pintunya!" Ketika Ismail datang, ia bertanya: "Adakah seorang yang datang kepadamu?" Jawab isterinya: "Ada! Datang kepada kami seorang tua yang baik keadaannya". Dan perempuan itu pun memujinya. "Ia menanyakan tuan pada saya dan menanyakan bagaimana kehidupan kita, lalu saya ceritakan, bahawa sesungguhnya kita dalam keadaan baik". Kata Ismail: "Adakah ia memesankan sesuatu kepada engkau'?" Jawabnya: "Ada! Disuruhnya sampaikan salam kepada tuan dan disuruhnya supaya menetapkan bingkai pintu tuan". Kata Ismail: "Itulah ayahku dan engkaulah yang dikatakan bingkai pintu. Beliau menyuruh saya supaya tetap beristerikan engkau". Beberapa masa kemudian sesudah itu Ibrahim datang kembali dan didapatinya Ismail sedang meruncing anak panahnya di bawah pohon Dauhah, tidak jauh dari Zamzam. Setelah ia melihat ayahnya, ia berdiri menemuinya. Keduanya lalu berpelukan sebagaimana diperbuat seorang ayah dengan anaknya dan anak dengan ayahnya. Kemudian Nabi Ibrahim berkata: "Hai Ismail! Sesungguhnya Tuhan memerintahkan satu perintah kepada saya" Jawab Ismail: "Laksanakanlah apa yang diperintahkan Tuhan itu!" Kata Ibrahim: "Mahukah engkau menolong saya?" Jawab Ismail: "Saya bersedia menolong ayah". Kata Ibrahim: "Sesungguhnya Tuhan memerintahkan kepada saya supaya saya mendirikan Baitullah di sini", Ia menunjuk kepada tumpukan tanah yang tinggi di sekelilingnya. Sesudah itu keduanya meninggikan (memasang) asas Bait (Kaabah). Nabi Ismail membawa batu dan Nabi Ibrahim memasangnya. Setelah pasangan itu tinggi Ismail membawa batu (untuk berpijak Ibrahim). Ibrahim lalu berdiri di atasnya untuk memasang dan Ismail menunjukkan batu. Kata Nabi: Keduanya meneruskan pembangunan sampai selesai, lalu berputar sekeliling Kaabah, mengucapkan: "Wahai Tuhan kami! Terimalah kerja kami. Sesunguhnya Engkau mendengar lagi mengetahui!"

3  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0755.
Dari Zainab, isteri Abdullah r.a., katanya ketika dia berada dalam masjid, Nabi saw. bersabda: "Bersedekahlah, walaupun dengan pakaianmu!" Zainab biasa berbelanja untuk Abdullah (suaminya) dan untuk anak yatim yang dipeliharanya. Dia berkata kepada Abdullah, "Cubalah tanyakan kepada Rasulullah saw. Cukupkah apa yang saya belanjakan untuk Tuan dan anak yatim yang saya pelihara sebagai sedekah daripadaku?" Jawab Abdullah, " Engkau sendirilah yang bertanya kepada beliau." Lantas aku pergi kepada Rasulullah saw. Kebetulan di pintu saya bertemu dengan seorang wanita Ansar, yang maksudnya sama dengan aku. Sementara itu Bilal lalu di samping kami, lalu kata kami kepadanya, "Tolong tanyakan kepada Nabi saw.: Cukupkah apa yang saya belanjakan untuk suami dan anak yatim yang saya pelihara sebagai sedekah daripadaku? Kami pesankan pula kepadanya, supaya jangan dikhabarkan kepada Nabi saw. bahawa kami yang bertanya."Bilal terus masuk lalu menanyakan pesan Zainab itu kepada Nabi.Tanya beliau, "Siapa wanita yang berdua itu?" Jawab Bilal, "Zainab!" Tanya Nabi lagi, "Zainab yang mana'?" Jawab Bilal, "Zainab, isteri Abdullah. " Sabda Nabi saw., "Ya, cukup! Dia mendapat dua pahala, Yakni pahala kekeluargaan dan pahala sedekah."

4  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1046.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu hari Nabi saw. keluar (rumah). Beliau tidak bicara kepada ku dan aku pun tidak bicara pula kepada beliau. Sampai di pasar Bani Qainuqa', beliau duduk di halaman rumah Fatimah, lalu beliau bersabda: "Adakah anak kecil di situ? Adakah anak kecil di situ?" Fatimah menahannya sebentar, mungkin ia sedang memakaikan kalung atau memandikan anak itu. Tidak lama kemudian datanglah anak kecil itu dengan tergesa-gesa, lalu dipeluk dan diciumnya. Beliau mendoa, "Wahai, Allah! Kasihilah kiranya dia dan kasihi pula kiranya orang yang mengasihinya."

5  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1008.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "'Utbah bin Abi Waqas pernah berpesan kepada saudaranya, Saad bin Abi Waqas, katanya: "Sesungguhnya anak sahaya Zamaah ialah anak saya. Karena itu tolong ambilkan anak itu. Kata 'Aisyah, "Tatkala tahun pendudukan Mekah, anak itu diambil oleh Saad bin Abi Waqas. Katanya, "Ini anak saudara ku. Ia telah memesankan kepada ku supaya aku mengambilnya. Abdu bin Zamaah berdiri, lalu katanya, "Dia saudara saya dan anak hamba sahaya bapa saya. Ia dilahirkan di atas tikar tempat tidur bapa saya." Kerana itu keduanya pergi menghadap Nabi saw. Kata Saad, "Ya, Rasulullah! Ini anak saudara ku. Ia berpesan kepada ku, supaya aku mengambilnya." Kata 'Abdu bin Zamaah, "Anak itu saudara ku. Ia anak hamba sahaya Bapa ku. Ia lahir di atas tikar tempat tidur Bapa ku." Sabda Rasulullah saw., "Anak itu untukmu, hai, Abdu bin Zamaah." Selanjutnya Nabi saw. menambahkan, "Anak adalah kepunyaan orang yang mempunyai tikar tempat tidur. Dan (anak) orang yang berzina putus." Kemudian beliau bersabda kepada Saudah bin Zamaah isteri Nabi saw., "Bertutuplah daripada anak itu!" (Nabi menyuruh Saudah begitu) kerana beliau telah melihat bahawa anak itu serupa dengan 'Utbah. Kemudian anak itu tidak pula melihat Saudah sampai ia menemui Allah."

6  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1212.
Dari 'Aisyah r.a.: Isteri Rasulullah saw. dua golongan. Satu golongan termasuk di dalamnya Aisyah, Hafsah, Safiah dan Saudah,sedang golongan lain Ummu Salamah dan isteri-isteri Rasulullah saw. lainnya. Sesungguhnya orang-orang Islam mengetahui akan kasih Rasulullah saw. kepada Aisyah. Apabila salah seorang mereka hendak memberikan hadiah kepada Rasulullah saw. maka dilambatkannya memberikan hadiah itu, sampai Rasulullah saw. berada di rumah Aisyah: maka datanglah yang punya hadiah tadi kepada Rasulullah saw. di rumah Aisyah. Golongan Ummu Salamah memperkatakan hal itu. Kata mereka pada Ummu Salamah: "Katakanlah kepada Rasulullah s.a.w: supaya dinyatakannya kepada orang banyak bahawa barangsiapa yang berniat memberikan hadiah kepada Rasulullah s.a.w. hendaklah diberikannya kepada beliau di rumah mana saja beliau berada di antara rumah isteri-isteri beliau". Ummu Salamah lalu menyampaikan kepada Nabi apa yang mereka katakan itu. Nabi tiada menjawab sepatah kata pun, Kemudian kami bertanya pada Ummu Salamah. Jawabnya: "Beliau tiada menjawab sepatah kata pun". Kata mereka: "Katakan sekali lagi pada beliau!" Kata Ummu Salamah: Lalu saya katakan kepada Nabi ketika dia mempunyai giliran di rumahku. Beliau tiada menjawab sepatah kata pun. Mereka bertanya lagi: Jawab Ummu Salamah: "Tiada beliau jawab sepatah kata pun". Kata mereka: "Katakanlah pada beliau sampai beliau menjawab!" Setelah beliau mempunyai giliran kepadanya, lalu dikatakan sekali lagi oleh Ummu Salamah. Sabda beliau: "Janganlah saya disakiti berkenaan dengan 'Aisyah. Sesungguhnya wahyu hanya datang kepada saya, ketika saya dalam selimut seorang perempuan, ketika saya di rumah Aisyah". Kata Ummu Salamah: "Saya taubat kepada Allah lantaran menyakiti tuan, ya Rasulullah!" Kemudian mereka memanggil Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Mereka menyuruhnya menghadap Rasulullah s.a.w. untuk mengatakan: "Sesungguhnya isteri-isteri ayah, kerana Allah, memohon keadilan kepada ayah mengenai puteri Abu Bakar". Fatimah lalu mengatakan itu kepada Nabi. Beliau bersabda: "Hai anakku! Apakah engkau tidak kasih kepada yang saya kasihi?" Jawab Fatimah: "Ya, memang begitu!" Dan ia pun kembali kepada mereka, lalu dikhabarkannya hal yang demikian. Kata mereka: "Kembalilah menghadap beliau!" Ia tiada mahu kembali. Mereka menyuruh Zainab binti Jahsy, lalu ia datang menghadap Nabi. Dengan cara kasar ia berkata: "Sesungguhnya isteri-isteri tuan, kerana Allah, memohon keadilan tentang puteri anak Abu Quhafah". Ia mengeraskan suaranya sehingga kedengaran oleh Aisyah yang sedang duduk sampai ia memakinya, sehingga Rasulullah s.a.w. memandang kepada Aisyah, adakah ia menjawab. Kata yang meriwayatkan hadis: Aisyah lalu menjawab terhadap Zainab, sehingga terdiam. Kata Aisyah: Nabi s.a.w. memandang kepada saya (Aisyah) dan beliau berkata: "Sesungguhnya ia puteri Abu Bakar!"

7  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1115.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Tidak ada yang ku ingat mengenai kedua orang tua ku, melainkan mereka telah memeluk agama (Islam). Dan tidak ada hari yang berlalu bagi kami, melainkan setiap hari itu Rasulullah saw. datang ke rumah kami pada kedua tepi siang, pagi dan petang. Ketika kaum muslimin ditimpa musibah, Abu Bakar ikut hijrah ke Habsyah. Sesampainya di Birkal Ghimad, ia berpapasan dengan Ibnu Daghinah, seorang penghulu kampung. Katanya, "Hendak ke mana engkau, hai, Abu Bakar?" Jawab Abu Bakar, "Aku diusir oleh kaum ku. Kerana itu aku hendak mengembara di bumi ini untuk menyembah Tuhan ku." Kata Ibnu Daghinah, "Sesungguhnya orang seperti engkau ini tidak boleh pergi dan tidak boleh diusir. Kerana engkau mengusahakan yang tidak ada, menghubungkan kasih sayang (silatur rahim), membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu dan menolong orang yang ditimpa bahaya dalam menegakkan kebenaran. Dan aku adalah tetanggamu. Kembalilah! Dan tetaplah menyembah Tuhan mu di negerimu." Ibnu Daghinah berjalan bersama-sama dengan Abu Bakar. Lalu ditemuinya pemuka-pemuka kaum Quraisy. Katanya kepada mereka,"Sesungguhnya orang seperti Abu Bakar tidak boleh diusir. Mengapa kalian usir dia? Padahal dia mengusahakan yang tidak ada, menghubungkan kasih sayang, membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu dan menolong orang yang ditimpa bencana dalam menegakkan kebenaran." Sesudah itu orang Quraisy membiarkan tetangga Ibnu Daghinah dan memberi keamanan bagi Abu Bakar. Kata mereka kepada Ibnu Daghinah, "Suruhlah Abu Bakar supaya ia menyembah Tuhannya di rumahnya, ia boleh solat dan membaca apa yang dikehendakinya (di sana), tetapi sekali-kali janganlah menyakiti hati kami dengan perbuatannya, dan jangan pula ia pamer dengannya. Sesungguhnya kami khuatir anak-anak dan para wanita kami akan terpengaruh. Ibnu Daghinah menyampaikan pesan mereka itu kepada Abu Bakar. Maka semenjak itu, Abu Bakar sentiasa menyembah Tuhannya di rumahnya saja, tidak kelihatan terang-terangan solat dan membaca (Quran) di luar rumahnya. Kemudian timbul fikiran bagi Abu Bakar. Maka dibuatnya masjid (musalla, atau surau) di halaman rumahnya. Ia solat dan membaca dengan leluasa di masjidnya itu. Para wanita dan anak-anak orang musyrik beramai-ramai mengunjunginya dan mereka hairan melihatnya, kerana Abu Bakar seorang yang mudah menangis. Dia tidak dapat menahan air matanya kalau dia membaca Quran. Keadaan seperti itu sangat mengejutkan pemuka musyrikin Quraisy. Lalu mereka panggil Ibnu Daghinah. Ibnu Daghinah datang menemui mereka. Kata mereka, "Kami membolehkan Abu Bakar menyembah Tuhannya, hanya di rumahnya. Kini dia telah melampaui batas. Dibuatnya masjid di halaman rumahnya, kemudian dengan leluasa dia pamer solat dan membaca. Kami khuatir anak-anak dan para wanita kami akan terpengaruh. Kerana itu pergilah kamu kepadanya. Jika dia mahu menyembah Tuhannya di rumahnya saja, dia boleh melakukannya. Jika dia tidak mhau, bahkan dia akan melakukannya secara terus terang dan leluasa, mintalah kepadanya supaya ia mengembalikan jaminan perlindungan darimu. Kami sendiri tidak suka merosakkan perjanjian denganmu. Kami tidak menyetujui Abu Bakar bersikap leluasa dan terus terang seperti itu." Kata 'Aisyah, Ibnu Daghinah datang kepada Abu Bakar, lalu ia berkata: "Engkau memaklumi apa yang ku janjikan kepada engkau. Dapatkah engkau menepati janji itu, ataukah engkau akan mengembalikan janji perlindungan dari ku tidak ingin mendengarkan orang Arab mengatakan, bahawa aku merosak janji yang telah ku janjikan kepada seseorang." Kata Abu Bakar, "Aku kembalikan kepada mu janji setetangga denganmu. Dan aku lebih suka setetangga dengan Allah." Waktu itu Rasulullah saw. sedang berada di Mekah. Beliau bersabda, "Sesungguhnya telah diperlihatkan (Allah) kepada ku tempat hijrahmu. Aku lihat pada pasir ditumbuhi pohon kurma di antara dua bukit, yakni dua tempat yang berbatu-batu." Tidak lama kemudian, maka hijrahlah orang ke Madinah. Yaitu sesudah Rasulullah saw. mengatakan demikian itu. Dan hijrah pula ke Madinah orang-orang yang tadinya telah hijrah ke Habsyah. Abu Bakar pun bersiap-siap pula hendak hijrah. Tetapi Rasulullah saw. bersabda kepadanya, "Perlahan-lahan! Sesungguhnya aku mengharap pula keizinan bagi ku sendiri." Kata Abu Bakar, "Apakah Tuan sedang mengharapkan yang demikian itu? Ku tebus engkau dengan Bapa ku." Jawab beliau, "Ya!" Abu Bakar menunggu Rasulullah saw. untuk menemani beliau. Sementara itu diberinya makan dua ekor kenderaan miliknya sendiri dengan daun samar selama empat bulan."

8  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1145.
Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ketika seorang laki-laki sedang dalam perjalanan, ia kehausan. Ia masuk ke dalam sebuah sumur yang curam, lalu minum di sana. Kemudian ia ke luar. Tiba-tiba ditemuinya seekor anjing yang menjulurkan lidahnya dan menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata: Anjing ini sedang merasakan apa yang telah saya rasakan. Lalu ia turun kembali ke sumur itu, memenuhi sepatunya dengan air, membawanya ke atas dengan menggigit sepatu itu, terus naik kembali ke atas dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya." Para sahabat bertanya: Hai Rasulullah! Kalau kami mengasihi binatang apakah kami memperoleh pahala? Beliau bersabda: "Setiap hati yang pengasih mendapat pahala. "

9  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1698.
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu seratus bahagian. Sembilan puluh sembilan disimpanNya di sisiNya. Satu bahagian saja yang diturunkanNya ke atas dunia. Dengan kasih sayang yang satu bahagian itulah para makhluk saling berkasih-sayang, sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terinjak."

10  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1122.
Dari Abu Hurairah r.a., "Rasulullah saw. menugaskan daku untuk menjaga Zakat Ramadhan (Zakat Fitrah). Kemudian datang seseorang kepada ku, maka diambilnya segenggam makanan, dan orang itu dapat ku tangkap. Lalu aku berkata kepadanya, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah saw." Katanya, "Saya perlu, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat." Kata Abu Hurairah, "Kerana itu, saya biarkan saja orang itu." Esok pagi Nabi saw. bersabda, "Hal, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu, kerana mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan, lalu saya biarkan saja dia." Sabda Nabi, "Sebenarnya dia dusta kepada mu dan ia akan kembali." Saya yakin bahawa ia akan kembali kerana pemberitahuan Rasulullah saw. itu. Lalu saya intip dia. Memang benar, orang itu datang lagi lalu diambilnya segenggam makanan, dan terus saya tangkap. Kataku, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah saw." Katanya, "Biarkanlah saya, kerana saya sangat perlu dan mempunyai keluarga. Sesudah ini tidak akan saya ulangi lagi." Saya pun merasa kasihan, lalu saya biarkan dia. Pagi-pagi Rasulullah saw. bersabda pada ku, "Hai, Abu Hurairah! Apakah yang diperbuat tawanan mu malam tadi?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Ia mengatakan sangat perlu dan berkeluarga. Aku merasa kasihan kepadanya, lalu ku biarkan saja dia." Sabda beliau, "Sebenarnya ia dusta kepada mu, dan ia bakal kembali." Saya intip dia untuk ketiga kalinya. Memang benar, ia pun datang lalu diambilnya segenggam makanan, lantas saya tangkap, seraya berkata. "Engkau mesti saya adukan kepada Rasulullah saw. Inilah yang ketiga kalinya engkau mengatakan tidak akan kembali, tetapi nyatanya engkau kembali juga." Katanya, "Lepaskanlah aku, nanti ku ajarkan kepada mu kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah kepada mu, apabila engkau membaca kalimah itu." Kataku, "Apakah kalimah itu?" Jawabnya, "Apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat Kursi: Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum, (Al Baqarah, 2 : 255) hingga sampai akhir ayat. Maka engkau sentiasa dalam pemeliharaan Allah, sedangkan syaitan tidak akan berkati mu sampai pagi." Setelah itu saya biarkan dia. Pagi Rasulullah saw. bersabda kepada ku, "Apa yang diperbuat tawanan mu tadi?" Kataku, "Ya, Rasulullah! Dia ajarkan kepada ku beberapa kalimah katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu ku biarkan dia." Sabda beliau, "Apakah kalimah itu?" , Jawab ku, "Ia mengatakan kepada ku, apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat kursi dari awal sampai akhir. Yakni. Allaahu laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum.(hingga akhirnya). Katanya kepada ku: Engkau akan sentiasa, dalam pemeliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekati mu sampai pagi." Dan biasanya para sahabat itu sangat, mengingini kebaikan. Nabi saw. bersabda, "Sesungguhnya ia telah benar kepada mu. Padahal ia sangat pendusta. Tahukah engkau, dengan siapa engkau bercakap-cakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?" Jawab Abu Hurairah, "Tidak!" Sabda beliau. "Itulah syaitan!"